GAMBAR menunjukkan tanah runtuh di Lebuh Raya No.3 dekat Keelung di utara Taiwan semalam.
TAIPEI - Sejumlah kenderaan tertimbus di bawah timbunan batu dalam satu kejadian tanah runtuh di kawasan seluas 300 meter di Lebuh Raya No.3 di antara Taipei dan Keelung semalam.
Datuk Bandar Keelung, Tung-jung berkata, kejadian berlaku pada pukul 2.33 petang waktu tempatan apabila lereng sebuah bukit di kilometer 3.1, di hujung utara lebuh raya berkenaan dan ke utara plaza tol Chitu, runtuh dan menyebabkan sebuah jejantas runtuh.
Beberapa saksi yang kebetulan berada di lokasi kejadian berkata, sekitar dua hingga empat buah kereta dianggarkan tertimbus dalam bencana itu.
Seorang wanita muncul di lokasi kejadian pada petang semalam dan memberitahu wartawan, dia yakin suaminya tertimbus di bawah tanah runtuh tersebut.
Timbunan tanah dan batu menghalang perjalanan di lebuh raya selebar 100 meter itu dan melitupi semua enam lorongnya pada jarak sejauh 300 meter.
Beberapa pegawai berkata, pihak tentera menghantar kira-kira 200 askar bagi membantu kerja menyelamat manakala 36 jentera berat dan 37 trak tiba di lokasi kejadian bagi membuka semula kawasan tertimbus itu.
Perdana Menteri, Wu Den-yih berkata, kerja-kerja membersihkan tanah runtuh itu dijangka mengambil masa 20 hari jika ia dilakukan berterusan 24 jam sehari.
Punca kejadian itu masih disiasat ekoran tiada gempa bumi atau hujan berlaku di kawasan tersebut semasa bencana. - Agensi
Sumber: Kosmo!
p.s: Kun Fayakun.. Allahuakbar!